Sunday, 23 October 2011

MAKIN DIHAPUS MAKIN MENJADI

Syukur alhamdulillah. Sekali lagi dapat juga kita berjumpa dengan izinnya. Apa yang kita nak bualkan pada kali ini? Ha..Ha... Aku ada cerita yang nak aku kongsikan bersama.

Pada 20hb Okt 2011, aku dan seorang geng aku yang sememangnya sekepala dengan aku, merancang pergi ke tempat yang boleh kami rehatkan minda, tenangkan hati sambil menikmati suasana bumi Melaka yang bertuah ini.

Sememangnya beberapa tempat yang bermain di kepala otak kami. Congak punya congak, keputusan adalah ke puncak Bukit Gedong. Iaitu ke makam panglima Pidi.(cuba semak di laman BUKIT CINA BUKIT GEDONG BUKIT TEMPURONG) Sememangnya kami suka ke sana. Lebih-lebih lagi aku kerana suasana aman di situ.

Dari kaki bukit, kami bermotor hingga ke puncak. (Sebab malas nak memanjat dengan kaki) Dari kejauhan dah nampak makam panglima Pidi. Rupanya dah di cat baru. Syukur alhamdulillah. Ada juga umat yang menyelenggara makam ini. Keseluhuran makam ini telah dicat dengan warna putih. Termasuklah tembok keliling makam. Batu nesannya dibalut dengan kain putih. Manakala pokok keliling makam yang menganjur ke dalam makam telah dicantas.
Daun-daun kering yang ada di dalam makam, dikumpul dan dibakar. Pintu besi iaitu pintu masuk ke makam telah diperbaiki. Tembok yang runtuh telah dibaik pulih. Boleh dikatakan keseluhuran makam ini telah dibaik pulih.

Memang sedap mata memandang. Aman dan nyaman tetapi....

Ini yang nak diceritakan sebenarnya. Dalam keadaan makam yang indah ketika itu, aku boleh pulak terjumpa barang-barang yang biasa digunakan untuk upacara pemujaan. Aku tak tahu la untuk tujuan pemujaan apa. Mungkin kaki-kaki nombor. Mungkin perubatan. Mungkin juga sengaja untuk bau-bauan.




Tengok saja dalam gambar. Bekas tinggalan lilin.




Pengalaman aku la, kalau lilin warna merah, cerut, tembakau yang dijumpai, ini kerja kaki nombor.


Bukan tu saja. Di sebelah makam tu pun dia orang buat keje mintak no ekor juga.


Apa la dia orang ni. Kalau minta nombor kat kubur, bukannya kubur tu boleh bagi. Kalaulah kene pun nombor tu, itu secara kebetulan atau orang putih cakap lucky luck. Kalaulah betul ini kerja kaki nombor, lepas tu pulak kaki nombor ni orang melayu, memang sah la orang ni tak pernah sembahyang. Islam pada nama saja. Pemalas dan nak kerja senang untuk dapat duit. Kalaulah pulak kerja bangsa asing, tolong la jangan tinggalkan kesan. Sekurang-kurangnya kesihanlah pada orang yang mengecat tu. Kita renungkanlah bersama ye...



Friday, 16 September 2011

MERDEKA DAN RELA

Hari ni 16hb September 2011 hari Jumaat. Pagi-pagi lagi aku dah bangun. Antara terpaksa dan rela. Apa daknye. Hari ini aku terbabit dengan Majlis Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara peringkat negeri Melaka. Bangun seawal jam 4 setengah pagi. Sedang orang sedap tarik selimut, tipon aku bertempik mengejutkan aku supaya bangun mandi dan bersiap.

Dengan gaya malas, dengan mata masih separuh tertutup, aku capai kain sabok terus masuk mengkewan. Pulas kepala paip, maka memancutlah air dari paip yang berada diatas kepala ku.

Pergerakkan pertama bila air singgah kat badan aku adalah jurus 5 1/2 iaitu jurus lintang pukang. Jurus ni adalah jurus mengelak kene air. Apa taknye. Air yang keluar dah tentunya air sejuk. Maklumlah. 4 pagi. Laa.... Aku lupa nak 'on' kan suis pemanas air. Tak pasal-pasal terus terang mata aku. Hehehehe......

Jam 6 pagi, aku keluar rumah. Capai kuda besi aku dan terus membelah keheningan pagi menuju terus ke tempat perjumpaan. Aku ingat aku paling cepat. Hampeh... Aku last sampai. Kene gelak dengan anggota pagi-pagi subuh ni.

Tak lama, pegawai aku pun sampai dengan van jabatan. Aku arahkan semua masuk van dan kami pun bergerak ke Padang Pahlawan Banda Hilir yang mana perarakkan akan dimulakan dari sana.

Sampai di Banda Hilir, sarapan dulu kat kedai mamak bawah Padang Pahlawan tu. Aku tengok ramainye manusia. Pas tu aku tengok muka mamak tu senyum sampai ke telinga. Berseri-seri. Niaga bagus... Dan ada juga anggota yang mengambil kesempatan untuk pergi membuang apa-apa yang patut sebelum perbarisan bermula.  

Lebih kurang jam 9 lebih pagi bermulalah perbarisan. Dengan lenggang kiri kanan kiri kanan, tangan dan kaki dihayun, kepala menoleh ke kanan mengadap pentas utama sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin negara dan kepada Pengarah Rela Negeri Melaka, mencuri tumpuan semua yang berada sekitar pentas utama.

Sememangnya pasukan ini mencuri tumpuan kerana warna unifomnya. Warna hijau. Sinonim dengan pasukan bersenjata yang sedia mempertahankan negara. Apatah lagi dikenekan dengan jambul putih. Sarung tangan putih. Waduh tipah.... Banyak lensar kamera yang tertumpu pada kami. Daripada kamera pemberita hinggalah kamera orang-orang awam. Sampaikan kamera handphone pun tak henti-henti bekerja. Ramai yang memuji. Ramai juga yang menjeling segan. Ada juga yang menjeling masam. Macam abang polis tu. Nampak mencemik. Agaknya dalam hati dia, apalah yang gahnya Rela ni.... Tapi aku bangga dapat membuatkan hati mereka-mereka yang kurang senang dengan Rela menjadi pahit.

Sememangnye perbarisan kali ini bolehlah dianggap terbaik kerana kami telah mencuba. Hanya dengan 1 hari latihan, dengan kalangan anggota yang tidak ada asas kawat(yang belum pergi kursus asas rela), benar-benar mencabar pegawai  yang bertugas. Tapi apa pun hari ini akan menjadi sejarah dalam benak semua yang terlibat. Lain tahun kita buat lagi yang terbaik. Mungkin aku boleh usulkan tahun depan barisan Rela lengkap dengan pongkis dan belantan.

Saturday, 10 September 2011

BUKIT CINA BUKIT GEDONG BUKIT TEMPURONG

Kalau sebut pasal sejarah negeri Melaka, semua orang akan bercerita tentang Portugisnya, tentang kota A`Famosa, tentang Masjid Kampung Hulu dan banyak lagi. Semua orang tahu kesan tinggalan sejarah negeri Melaka. Baik yang tua mau pun yang muda. Malah sukatan pelajaran di negara ini juga mewajibkan setiap sekolah untuk mengajar tentang sejarah negeri Melaka.

Begitu agongnya sejarah negeri Melaka. Sebagaimana agongnya bahasa orang Melaka, begitulah dengan sejarah negeri ini.

Tetapi ada juga sejarah yang kian dilupakan.

Hari ni aku nak cerita tentang Bukit Cina, Bukit Gedong dan Bukit Tempurong. Aku lebih senang menggunakan gaya bahasa aku sendiri. Kalau-kalau ada yang tak faham, tanya aku, nanti aku kasi faham.

Pertama aku nak cerita tentang Bukit Cina. Kalau bertanya pada sesiapa tentang bukit Cina, kebanyakan tahu di mana letaknya bukit Cina. Tetapi kalau bertanya tentang bukit Gedong dan bukit Tempurong, kadang-kala jenerasi muda Melaka sendiri pun tak tahu di mana letaknya dua bukit itu. Ini pun sejarah. Dua bukit yang kian dilupakan. Aku sendiri pun terkeliru pada mulanya.

Bukit Cina lokasinya dekat dengan perigi Hang Li Poh. Hang Li Poh ini adalah seorang puteri raja yang berasal dari negara China yang telah berkahwin dengan Sultan Melaka. Kerana kasihnya Sultan Melaka kepada puteri ini dan untuk menjaga hati Maharaja China, Sultan Melaka telah menghadiahkan kepada puteri ini sebuah bukit tidak jauh dari Kota Melaka yang mana puteri ini telah membina tokong dan sebuah perigi di kaki bukit ini dan digelar orang sebagai Perigi Puteri Hang Li Poh atau Perigi Raja

Di puncak Bukit Cina ini, tanahnya rata dan dulunya  ada banggunan jabatan kaji cuaca tapi sekarang banggunan itu telah tiada lagi.
 PUNCAK BUKIT CINA
Orang dulu-dulu kata bukit ini banyak harta karun. Tak tahu le aku benar atau tidak. Tetapi orang dulu-dulu kata, orang cina yang ditanam di sini, akan  dikuburkan bersama harta mereka. Seandainya kenyataan ini benar, maka sudah sementinya bukit ini menyembunyikan banyak harta karun. So milik siapakah harta ini? Milik kerajaan Melaka laa......dan sekutunya. 
PEMANDANGAN BANDAR MELAKA DARI PUNCAK BUKIT CINA

Sekarang kita cerita pasal Bukit Gedong pula.
Kat manakah lokasi bukit Gedong? Bukit Gedong dan Bukit Cina adalah dua bukit yang bercantum yang mana Bukit Cina letaknya dekat perigi Hang Li Poh manakala Bukit Gedong disebelah belakangnya. Maknanya ada dua puncak bukit kat bukit itu.
BERPELUH JUGA MENDAKI KE PUNCAK
Orang sekarang lebih suka memanggil dua bukit ini Bukit Cina sahaja kerana artifak kuburan Cina yang telah beratus tahun berada kat sana. Jadi nama Bukit Gedong pun tenggelamlah dek arus permodenan. Di puncak bukit Gedong pula terdapat dua makam panjang yang dipercayai milik dua orang panglima yang terbunuh semasa berperang dengan orang Portugis. Iaitu panglima Pidie dan panglima  Syamsuddin Al Sumatrani  yang berketerunan Aceh. Dan beberapa makam biasa yang tidak diketahui milik siapa.
MAKAM SEJARAH DI PUNCAK BUKIT GEDONG 
BEBERAPA MAKAM LAIN DISISI MAKAM PANGLIMA PIDIE
Sekarang bukit ini menjadi lokasi orang awam berjoging pada petang hari. Telah tersedia track bertar untuk berjoging sekeliling dua bukit ini. Boleh juga berjoging sekeliling bukit ini dengan menyusuri jalanraya di kaki bukit tetapi kenderaan yang semakin bertambah di Melaka ini membuatkan orang lebih gemar berjoging di atas bukit.
LALUAN NAIK UNTUK PELANCONG
GAMBAR DIAMBIL DARI PUNCAK BUKIT CINA
LALUAN UNTUK ORANG YANG BERJOGING
Bukit Gedong juga dikaitkan dengan harta karun. Gedong tu kan bermaksud tempat penyimpanan yang luas. Mungkin kerana itu orang kaitkan harta karun yang banyak tertanam kat bukit ini. Bagi aku sama saja dengan pendapat aku tentang bukit cina.
INILAH AGAKNYA HARTA KARUN YANG DIMAKSUDKAN
Bukit Tempurong pula.
Memang ramai yang tak tahu kat mana bukit ini. Aku mulanya pun keliru. Yang sebenarnya bukit itu dah rata. Maksudnya dah tak berbukit lagi. Tanahnya dah diambil dan tapak asal bukit ini telah banyak didirikan banggunan. Dah dijadikan kawasan perumahan dan rumah kedai. Tapak Sek. Men. Seri Bandar Air Leleh sekarang adalah kaki bukit Tempurong.  Air Leleh itu adalah nama kampung yang berada di kaki bukit ini. Tetapi orang sekarang lebih senang panggil kawasan kampung dan bekas bukit itu sebagai Air Leleh. Yelah... Dah tak ada bukit lagi. Satu lagi sejarah yang kian dilupakan. Kepada orang yang tinggal berdekatan dengan bekas bukit ini, tentu tahu tempat simpanan segala barangan TM (Telikom Malaysia) Air Leleh. Tempat simpanan itulah bekas sebuah kilang yang membuat minyak kelapa. Minyak kelapa yang digunakan untuk menggoreng.



Kesimpulannya aku menulis hanya untuk mengingatkan kembali nama-nama bukit yang agong suatu masa dulu. Yang mana kian dilupakan. Sekurang-kurangnya boleh juga menjadi peringatan untuk tatapan jenerasi selepas aku.

HEBATNYA MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap bersantun
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Aceh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah Mualaf bertakrif Melayu.

Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Berkelahi cara Melayu, menikam dengan pantun,
Menyanggah dengan senyum,
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silatulrrahim hati yang murni
Madah diungkap sentiasa disahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidaklah lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tiada terbandingan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan,
Suami pulang lapar tak makan,
Kera di hutan disusukan,
Anak di pangkuan mati kebuluran."

Bagaimanakah Melayu
Di abad dua puluh Satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka


PERINGATAN JE.....

Monday, 5 September 2011

AKTIVITI RELA DAERAH MELAKA TENGAH

Nama aku Hanif. Aku ni tak le pandai mengarang. Apa tah lagi menulis dalam blog.Tetapi oleh sebab keinginan untuk maju tu ada, aku cubalah.

Percubaan pertama ku tentang pasukan berunifom yang aku anggotai. Aku adalah salah seorang ahli dalam pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia Daerah Melaka Tengah. Dah lebih kurang 6 tahun aku jadi members dalam pasukan ini. Tetapi aku bukannya nak bercerita tentang diri aku dalam pasukan ini. Aku nak bercerita tentang aktiviti yang dianjurkan oleh pasukan ini.

Aku telah diminta oleh pegawai ku untuk mengadakan satu aktiviti lasak yang membabitkan anggota sebagai aktiviti tahunan. So aku pun mulalah buat kertas kerja dan akhirnya pada 1 & 2 May 2010, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia Daerah Melaka Tengah yang diketuai oleh aku sebagai pegawai pelaksana aktiviti (yang pada ketika itu berpagkat kopral je), telah mengadakan Aktiviti Perkhemahan dan Operasi Pemantauan Keselamatan di Tanjung Tuan Melaka.

Matlamat aktiviti perkhemahan adalah untuk mengulangkaji semula segala pelajaran yang diajar kepada anggota sewaktu anggota mengikuti kursus dulu. Sementara Operasi Pemantauan pula adalah untuk mendapatkan maklumat yang tepat tentang kebanjiran pendatang asing tanpa izin atau PATI di lokasi tersebut.

Keseluruhannya aktiviti dan operasi kami, berjaya dengan jayanya. Walaupun sarjan aku terseliuh kaki, ada yang sakit perut dan tak henti-henti buang benda tu, tapi dapat juga kami menghabiskan aktiviti dan operasi ini. Ada lagi aktiviti yang aku buat. Kalau nak tahu tunggu...
 Sebahagian daripada anggota.
 Berehat sebentar sebelum sambung perjalanan
 Pemandangan pantai Tanjung Tuan.
Taklimat aktiviti
 Tapak perkhemahan.
 Taklimat operasi PATI
Bergambar kenangan sebelum pulang.
Menuju ke lokasi kenderaan untuk pulang.
 Sjn yang terseliuh kaki mendapat bantuan dari anggota MEDICS.

Sunday, 4 September 2011

MAKAM DI PUNCAK BUKIT DUYUNG

Aku sebenarnya mendapat cerita tentang makam di puncak bukit Duyung ni dari seorang kawan. Katanya makam itu pun bertaraf wali. Aku tak tahu nama penuh empunya makam ini tetapi kawan aku kata makam tu Makam Wali Tok Kolah.

So pada hari Jumaat 3 Sept 2011 iaitu hari keempat raya puasa, aku dengan adik aku yang sememangnya satu kepala dengan aku pergilah ke lokasi tersebut.

Sebenarnya diatas bukit ini terletak kolam simpanan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB). Yang mana kolam simpanan air ini masih lagi berfungsi dan air dari kolam simpanan ini adalah untuk kegunaan penduduk sekitar kawasan itu. Oleh itu sememanglah ada jalan naik ke atas bukit yang siap berturap. Jadi kami tidaklah perlu bersusah payah mendaki bukit ini.

Kami bernasib baik kerana walaupun tersergam pondok pengawal yang mana menandakan kawasan ini adalah kawasan larangan menceroboh, kami dapati tiada pengawal yang bertugas. Agaknya pengawal yang bertugas bercuti raya. Jadi kami pun terus masuk dan mula mencari makam wali Tok Kolah ini.
Memang kami jumpa. Rupanya kedudukan makam ini diluar kawasan SAMB. Nak ke makam itu pun satu masaalah juga kerana tiada jalan lain. Seperti dalam gambar, kami terpaksa memanjat pagar berduri untuk ke makam itu.

Rasanya kedudukan makam ini terletak di puncak bukit Duyung ini. Pada pandangan aku, suatu ketika dulu kawasan makam ini bersih dan teratur. Oleh kerana tiadanya jalan masuk ke makam ini, orang mula melupakannya.

Sekarang kawasan sekitar makam ini dipenuhi dengan rumput lalang yang lebih tinggi dari aku. Tebing tanahnya makin terhakis.

Lihatlah gambar ini. Kami percaya disini adanya kubur kerana adanya batu nesan yang diperbuat dari batu merah tetapi oleh kerana hakisan, maka nesan ini tinggal satu saja.

Dari batu nesan ini rekabentuknya sama seperti batu nesan aceh. Diperbuat dari batu merah yang mana dipahat menjadikan bentuk. Aku kurang periksa pula batu nesan dari batu merah adalah tahun berapa. Andainya ada yang tahu, mungkin boleh beri pandangan.
Mungkinkah ini makam Tok Kolah? Andainya betul, cuba perhatikan batu nesannya. Tidak seperti batu nesan biasa. Kami percaya inilah makamnya kerana kami jumpa bekas-bekas pemujaan disini. Takkanlah orang memuja di kubur biasa? Kebiasaannya dikubur yang bertaraf tinggi.
Pokok tumbang terselit di celah dahan di hujung kaki makam Tok Kolah. Dari mana datangnya pokok besar ini?
Ini pula pemandangan dari makam ini.

Menurut dari ayahda kami, puncak bukit Duyung dulunya terkenal sebagai tempat mandi safar (satu masa nanti kita cerita pula tentang mandi safar). Sekitar tahun 60-70an, Melaka memang terkenal dengan mandi safarnya. Dan bukit Duyung ini adalah salah satu lokasi Mandi Safar.

Sekiranya ada cerita yang aku tak tahu atau tertinggal, kau orang tolonglah tambah-tambahkan dalam ruangan komen.